KUALA NERUS – Terengganu FC (TFC) membelasah Kelantan FC 5-0 dalam derbi Pantai Timur di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini malam ini.
Kemenangan bergaya itu bukan sahaja melonjakkan skuad Sang Penyu ke tangga keenam liga malah tambah manis tiga penyerangnya, Jordan Mintah, Adisak Kraisorn dan Ivan Mamut yang hebat dikritik sebelum ini berjaya meledak gol.
Tuan rumah membuka tirai jaringan melalui Mintah yang melakukan sepakan deras dari luar kotak penalti pada minit ke-16 dan semakin selesa memasuki minit ke-21 selepas rembatan leret Adisak berjaya menemui sasaran berpunca tandukan kurang cermat pemain lawan, Mohd. Arip Amiruddin.
Lebih 5,000 penyokong Sang Penyu terus diceriakan gol ketiga menerusi Mamut yang menyudahkan sepakan penalti minit ke-66 selepas pemain Croatia itu dibentes oleh Muhd. Afiq Azuan.
Mamut dan Hakimi Abdullah menambah derita Kelantan FC apabila melengkapkan pesta gol hasil dua gol dalam masa kecederaan untuk memastikan kemenangan bergaya 5-0 memihak TFC. – KOSMO! ONLINE