PUTRAJAYA – Kerajaan bakal mendedahkan laporan penuh kemalangan pesawat udara tragedi ‘Double Six’ yang berlaku pada 6 Jun 1976 ekoran menimbulkan banyak persoalan dan keresahan pelbagai pihak terutama rakyat Sabah sebelum ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tragedi mengakibatkan kehilangan nyawa pemimpin utama Sabah merupakan tuntutan selama 47 tahun rakyat negeri itu bagi mengetahui hasil siasatan kemalangan berkenaan.
Katanya , selama ini kerajaan tidak membuat keputusan menghebahkan, menzahirkan atau diturun taraf (dinyahklasifikasi) sebagaimana peruntukan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88).
“Pada hari ini , jemaah menteri mengambil kira pandangan dikemukakan rakyat Sabah selama bertahun-tahun dan tuntutan dibuat keluarga dan waris yang mahu maklumat terperinci selari dengan dasar keterbukaan diamalkan Kerajaan Perpaduan.
“Oleh itu, kita memutuskan laporan akhir siasatan kemalangan itu akan diturun taraf atau dinyahklasifikasi iaitu semua maklumat akan diperkenalkan dan dihebahkan.
“Ia dibuat melalui kenyataan rasmi kerajaan dan Kementerian Pengangkutan pada minggu depan, manakala kenyataan awal boleh diedarkan dalam sehari dua ini,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.
Double Six merupakan nahas pesawat Nomad 9M-ATZ keluaran Australia berlaku pada 6 Jun 1976 di Kota Kinabalu di mana telah mengorbankan Ketua Menteri Sabah ketika itu iaitu Tun Fuad Stephens selain empat menteri Sabah dan enam yang lain.
Kapal terbang dikendalikan oleh Sabah Air dalam perjalanan dari Labuan terhempas di daerah Sembulan ketika menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. – KOSMO! ONLINE