KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan agihan dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) bagi tahun 2022 sebanyak 3.05 peratus.
Dalam masa yang sama, PTPTN turut mengumumkan Ganjaran Kesetiaan 2023 sebanyak satu peratus bagi pendeposit yang membuka akaun Simpan SSPN Prime dari tahun 2004 hingga 31 Disember 2019.
Kempen Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2023 tersebut menawarkan peluang ganjaran sehingga RM8,000 dan tempoh kempen adalah dari 5 April hingga 31 Julai 2023.
Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, simpanan untuk pendidikan tinggi adalah perkara yang sangat kritikal.
“KPT sentiasa memandang serius budaya amalan menabung untuk pendidikan. Galakan demi galakan diperkenalkan agar masyarakat menyahut secara besar-besaran seruan menabung untuk pendidikan.
“Ia bukan sahaja mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada pinjaman, tetapi berupaya mengelakkan anak-anak dibelenggu hutang apabila tamat pengajian.
“Misi ini selaras dengan konsep Malaysia Madani yang menekankan tentang kesejahteraan ekonomi dan sosial demi malaysia yang lebih maju dan makmur,” katanya pada Pengumuman Dividen Simpan SSPN 2022 dan Pelancaran Kempen Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2023 di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE