KUALA KANGSAR – Minyak Afiat Sdn Bhd (Afiat) memohon pengguna agar tidak keliru dengan produk keluaran syarikatnya susulan terdapat beberapa perusahaan mengeluarkan produk yang menggunakan jenama serta pelabelan yang hampir sama dengan Afiat.
Pengurus Besar syarikat, Abdul Raof Ahmad Zakaria berkata, pada masa sekarang terdapat dua syarikat yang dikenal pasti menggunakan jenama, label, warna dan identiti pembungkusan yang hampir sama dengan produk yang telah berada di pasaran hampir 100 tahun itu.
“Saya tidak kata syarikat yang dimaksudkan itu membuat produk palsu atau tiruan tetapi jangan keliru dengan jenama produk tersebut yang hampir sama dengan Afiat.
“Mereka dilihat cuba meniru dan seakan ingin menyerupai produk kami dipercayai bertujuan untuk memperdaya pengguna mahupun peruncit atau dengan kata lain, mereka ingin sekadar menumpang populariti Afiat.
“Bersainglah secara sihat tetapi bukan dengan cara memperdaya atau memanipulasi persepsi pengguna dengan menumpang populariti nama kami.
“Kami juga perlu menjaga kualiti produk dan perlu bertanggung jawab ke atas impak atau kesan yang dirasai pengguna,” katanya dalam sidang media di kilang syarikat di sini baru-baru ini.
Abdul Raof berkata, manipulasi persepsi tersebut sekali gus dianggap sebagai cubaan memperdaya pengguna setia, selain melanggar cap dagang Afiat yang dahulunya dikenali sebagai Perusahaan Minyak Afiat.
Katanya, produk Afiat mempunyai identiti tersendiri antaranya label keselamatan hologram FarmaTag TM pada produk berbotol, tulisan Afiat beserta logo berbentuk lakaran imej Allahyarham Haji Panjang Kamarudin selaku pengasasnya beserta alat muzik gambus dan ia hanya beralamat di Kuala Kangsar, Perak sahaja.
“Ada pengguna datang ke kilang untuk menukar produk kerana terdapat kesan sampingan daripada segi kesihatan dan ada yang juga minta ganti rugi,” ujarnya.
Bagaimanapun, isu tersebut tidak menjejaskan pasaran produk Afiat yang masih mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.
Abdul Raof berkata, Afiat juga sudah membawa kes dua syarikat yang dikenal pasti terbabit ke muka pengadilan dan kini sedang dalam proses menunggu perjalanan kes sivil berkaitannya di mahkamah berpandukan tindakan bagi kesalahan pelanggaran harta intelek. -KOSMO! ONLINE