KUALA LUMPUR – Pelbagai langkah dan inisiatif akan diumumkan kelak dalam usaha mengurangkan kesesakan terutama di lebuh raya utama menjelang perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, pihak kementerian sedia maklum masalah kesesakan yang sering berlaku setiap kali menjelang sambutan perayaan di negara ini.
“Sememangnya Kementerian Kerja Raya (KKR) ambil maklum, setiap kali perayaan bukan sahaja Aidilfitri, malah raya haji, Tahun Baharu Cina dan sebagainya, sudah pasti lebuh raya alami kesesakan amat sangat.
“Malah, di KKR sendiri sentiasa berbincang perkara ini. Banyak yang kita lakukan, jadi banyak perkara akan diumumkan menjelang raya,” katanya di Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Negara, Aknan Ehtook berhubung langkah yang dilakukan pihak KKR dalam mengatasi kesesakan di musim perayaan Aidilfitri ini.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman menjelaskan, antara langkah utama dilaksanakan KKR termasuk mengeluarkan cadangan waktu perjalanan bagi pengguna Lebuh Raya Utara-Selatan, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak, Lebuh Raya Pantai Timur dan Lebuh Raya Pantai Timur 2.
“Maknanya kalau semua pengguna ikut perancangan kita, sudah pasti kita dapat laksanakan perkara tersebut. Dalam masa sama, kita kemas kini trafik atau insiden kemalangan melalui Facebook, Twitter dan sebagainya dalam sistem Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
“Kita juga bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan supaya larangan kenderaan berat tidak boleh digunakan pada dua hari sebelum raya dan dua hari selepas cuti umum. Kita akan lakukan ini sempena Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya.
Beliau menjelaskan, pihaknya turut memastikan sistem kutipan tol berfungsi dengan baik bagi mengelakkan perkara tidak diingini.
“Selain itu, kita juga menggunakan lebih lorong di mana kita menutup sebahagiannya dan menggunakan sebahagian berlawanan arah,” katanya. – KOSMO! ONLINE