fbpx

Dewan Negara: Kerajaan teliti cadangan ‘gaji kehidupan wajar’ graduan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang meneliti cadangan Bank Negara Malaysia (BNM) berkaitan ‘gaji kehidupan wajar’ sekali gus usaha meningkatkan gaji yang ditawarkan kepada graduan di negara ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud berkata, berdasarkan laporan BNM pada 2018, kadar gaji wajar untuk individu adalah RM2,700, pasangan tanpa anak RM4,500, manakala pasangan dua anak RM6,500.

“Sehubungan itu, kerajaan perlu mengkaji model sesuai yang terbaik untuk negara. Bagi penetapan gaji siswazah pula adalah berdasarkan penawaran dan permintaan.

“Bagaimanapun, kadar gaji yang setimpal dengan tahap pendidikan, kemahiran dan pengalaman boleh dirunding dengan pihak majikan melalui kontrak perkhidmatan dan perundingan perjanjian kolektif bagi pekerja melalui kesatuan sekerja,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Negara, Datuk John Ambrose berhubung inisiatif kementerian bagi meningkatkan taraf hidup graduan selain berkaitan gaji minimum.

Mustapha berkata, kadar gaji juga perlu selaras dengan jenis pekerjaan dan bukan semata-mata kelayakan supaya kadar gaji tersebut setimpal dengan kemahiran dan produktiviti.

“Bahkan dalam ucapan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sewaktu menandatangani memorandum transformasi TVET pada 16 Mac lalu, beliau menyarankan pemain industri dan majikan menawarkan gaji permulaan sekurang-kurangnya RM3,000 untuk graduan TVET,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata, di peringkat Kementerian Sumber Manusia iaitu Majlis TVET Negara, pihaknya sedang memeterai beberapa memorandum kerjasama dengan pelbagai industri untuk memastikan antaranya gaji bersesuaian ditawarkan kepada graduan tersebut.

“Kita mahu gaji ditawarkan oleh majikan sesuai dengan tenaga mahir yang ada, jadi usaha sama yang awal itu perlu dibuat melalui memorandum kerjasama,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negara, Datuk Hatta Ramli berhubung langkah meyakinkan majikan menyediakan gaji seperti dicadangkan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI