JELI – Seorang buruh ditahan selepas dipercayai terlibat dengan kegiatan pengedaran sebanyak 6,000 biji pil kuda bernilai RM 60,000 semasa memandu kereta di tepi jalan Jeli-Dabong Kampung Lama, Kuala Balah di sini semalam.
Suspek yang berusia 47 tahun itu dicekup ketika memandu sebuah kereta jenis Proton Wira semasa anggota polis menjalan rondaan cegah jenayah di kawasan tersebut kira-kira pukul 11 malam.
Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Saari Yaacob berkata, anggota polis menahan kereta tersebut selepas melihat ia dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, pemeriksaan terhadap sebuah beg silang bersama suspek menemui sebanyak 24 peket plastik yang berisi 6,000 biji pil kuda.
“Ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah methamphetamine selain mempunyai dua rekod jenayah lampau berkait kea dadah.
“Kesemua 6,000 pil kuda terbabit telah dirampas dan suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Saari, kes disiasat mengikut 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 Dan Seksyen 15(1)(a) akta sama. – KOSMO! ONLINE