SEGAMAT – Lebih empat buah kediaman mengalami kerosakan teruk di bahagian bumbung akibat ribut yang melanda Taman Perumahan Rakyat, di Bukit Siput, di sini, petang semalam.
Menurut seorang penduduk, Mohd. Iskandar Kastur, 27, insiden itu berlaku kira-kira pukul 4.50 petang ketika dia berada di ruang tamu rumahnya bersiap untuk berniaga ke bazar Ramadan berhampiran.
“Mula-mula hujan biasa saja. Tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman kuat seolah-olah tayar lori treler meletup atas bumbung rumah. Apabila jenguk keluar, saya terkejut melihat bumbung terbang satu demi satu di depan mata.
Kemudian, hujan juga mulai lebat dan ruang dapur dalam rumah dipenuhi air. Saya bergegas keluar dari rumah kerana bimbang dihempap bumbung atau terkena renjatan elektrik,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Perumahan Awam, Bukit Siput, di sini.
Jelas Mohd. Iskandar, ketika itu, dia hanya memikirkan keselamatan diri termamsuk enam ahli keluarga mertua.
Kejadian tersebut menyebabkan 70 peratus bumbung rumahnya dan jiran yang terletak bersebelahan turut rosak selepas diterbangkan ribut dalam sekelip mata.
Sementara itu, bagi Mohd. Noor Mahrom, 61, mengakui berasa cemas ketika melihat bumbung rumah diterbangkan angin.
“Air hujan mula memasuki bahagian ruang tamu dan dapur setelah beberapa bumbung zink diterbangkan angin. Selepas itu, saya terus bergegas keluar melihat kediaman jiran kerana merasa bimbang terdengar tangisan kuat anak mereka.
“Ketika keluar, memang ribut kuat dan hujan lebat tapi saya terpaksa melihat keadaan jiran kerana bimbang keselamatan anak mereka,” kongsinya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Pemanis Saraswathy Nalathamby, berkata, setakat ini, jumlah kediaman terlibat sedang dikenal pasti dalam kejadian berkenaan.
“Nilai kerugian belum dapat dipastikan namun bantuan segera akan disalur bagi meringankan beban mangsa serta keselesaan penduduk terbabit memandangkan kini hujan agak kerap terutama sekali di waktu petang,”tambahnya. – KOSMO! ONLINE