KUALA LUMPUR – Penganjuran majlis World Saree Day Malaysia (WSDM) telah berjaya mencapai objektifnya dengan mengutip dana untuk Persatuan Sindrom Down Malaysia (PSDM) tetapi juga dalam masa yang sama memberi peluang kepada golongan orang kurang upaya menyertai sebagai model memperagakan pelbagai koleksi sari dalam majlis tersebut.
Pengarah program tersebut, Bkay Nair yang juga Pengarah Bkay Nair Resources berkata, program amal itu telah mendapat kerjasama daripada Jabatan Keseniaan dan Kebudayaan Negara (JKKN), Kelab Bharat Kuala Lumpur dan Suruhanjaya Tinggi India.
Ia bertujuan untuk memberi kesedaran dan mendidik masyarakat khususnya tentang keunikan pakaian sari yang dikaitkan dengan beberapa destinasi terkenal di India serta menyalurkan sumbangan kepada PDSM bagi menampung perbelanjaan persatuan tersebut.
“Pada majlis tersebut, sebanyak 30 jenis sari yang berbeza dengan gaya lilitan dari 30 buah negeri di India bagi meningkatkan pengetahuan masyarakat tentang pakaian tradisional tersebut.
“Sari berbeza mengikut negeri kerana ia didatangkan dengan pelbagai material, reka bentuk, warna dan gaya sari yang dipakai. Pastinya setiap koleksi sari itu memiliki fakta dan ceritanya sendiri untuk diketengahkan kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis tersebut di sini baru-baru ini.
Dalam majlis berkenaan, pertunjukan fesyen sari tersebut telah dimeriahkan oleh 10 anak Sindrom Down menunjukkan bakat masing-masing sebagai model. -KOSMO!ONLINE