KUALA LUMPUR – Hampir 500 aduan mangsa skim pelaburan pelbagai jenis telah diserahkan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) melalui Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) di sini, tengah hari tadi.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, laporan berkaitan penipuan pelaburan skim saham membabitkan lima syarikat dengan anggaran kerugian sehingga RM1 bilion manakala jumlah tertinggi pelaburan dibuat oleh mangsa adalah sebanyak RM3 juta.
Katanya, aduan tersebut melibatkan pelbagai jenis tawaran pelaburan seperti Islamic Redeemable Share (RPS-i atau saham khas boleh tebus), pelaburan melalui tabung amanah, pelaburan pembelian saham, pelaburan melalui nota jangka pendek dan juga penerbitan Sukuk.
“Kebanyakan mangsa skim pelaburan adalah pesara yang mana mereka melabur menggunakan wang pencen mereka. Bahkan ada juga mereka yang berpangkat ‘Tan Sri’ serta peguam yang menjadi mangsa.
“Kami telah mengutarakan kepada SC mengenai syarikat pelaburan terlibat, menyalahgunakan Memorandum-Memorandum Maklumat yang telah dihantar serah kepada SC sebelum ini.
“Syarikat pelaburan juga menonjolkan nama-nama besar yang mempunyai reputasi tinggi yang menjadi faktor mangsa terpengaruh. MHO berharap SC akan melaksanakan siasatan terperinci berhubung kes berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyerahkan aduan di Pejabat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, tengah hari tadi.
Sementara itu, Presidennya, Tan Sri Musa Hassan berkata, agensi siasatan perlu mengambil berat tentang perkara berkenaan kerana ramai telah tertipu dengan pelaburan sedemikian.
“Kita tidak mahu negara dianggap sebagai lubuk scammer. Justeru, saya berharap pihak polis, Bank Negara dan juga SC membantu rakyat Malaysia mengheret scammer ke mahkamah sekali gus menghentikan pelaburan begini.
“Selain mengheret scammer ke muka pengadilan, wang mangsa ditipu diharapkan agar dikembalikan atau dibekukan sekiranya masih ada,” ujarnya.
Seorang mangsa skim pelaburan, Harun Muhd. Yunus, 63, yang berasal dari Melaka mengetahui tentang pelaburan tersebut daripada isterinya dan mula memberanikan diri untuk melabur sejak Oktober 2021.
“Isteri saya pun mengetahui perkara berkenaan daripada kawan-kawannya setelah mereka sendiri menikmati pulangan wang serta dividen yang berbaloi.
“Saya telah melabur sebanyak RM250,000 dan hanya mendapat pulangan RM6,000 setiap bulan sepanjang tempoh empat bulan iaitu bermula Januari sehingga April 2022.
“Mereka memberitahu akan memulangkan wang dalam masa dua bulan namun sehingga hari ini saya tidak mendapat sebarang bayaran balik,” luahnya ketika ditanya media.
Mangsa seterusnya, Leong, 66, pula memberitahu dia telah melabur hampir RM500,000 setelah syarikat menjanjikan dividen sebanyak 12 peratus setiap tahun dan hanya menerima dividen sebanyak enam kali.
Sementara itu, Anisa Talib, 45, berkata, dia melabur dalam syarikat bermula akhir tahun lalu kerana terhasut setelah ditunjukkan sijil dan laporan mengatakan syarikat itu sah termasuk mempunyai perakuan SC. – KOSMO! ONLINE.