MELAKA – Seorang lelaki warga India dipenjara 11 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menetap di negara ini lebih 20 tahun menggunakan kad pengenalan palsu.
Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Jahabudin Ahamed Halmagan, 42, yang membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Tamil.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang berasal dari Theriruveli, Chennai, India didapati telah memiliki kad pengenalan palsu atas nama S.A Sithamparanathan yang beralamat di Batu Berendam, Melaka kira-kira pukul 12.15 tengah hari di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka pada 31 Mac lalu.
Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa di bawah Peraturan 25(1)(e) Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) dan boleh dihukum di bawah peraturan sama.
Mengikut fakta kes, tertuduh ditahan ketika cuba menukar status agama pada kad pengenalan palsu tersebut daripada Hindu kepada Islam, namun hasil perbandingan kedua-dua cap ibu jarinya tidak sepadan dengan perbandingan gambar imej dari Sistem Automatik Maklumat Cap Jari (AFIS).
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukumannya diringankan atas alasan telah insaf dan perlu menanggung dua anak serta isteri dengan pendapatan menjual cendol selain meminta diberikan peluang untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarganya.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN, Ahmad Amirul Ahmad Jamal bagaimanapun memohon hukuman berat dikenakan dengan mengambil kira faktor tertuduh telah menetap di negara ini lebih 20 tahun menggunakan kad pengenalan palsu.
Tertuduh turut menggunakan kad tersebut untuk menukar agamanya daripada Hindu kepada Islam di Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan mengambil bantuan Aidilfitri sebanyak RM450 daripada agensi terbabit, selain membuka akaun simpanan bank. – KOSMO! ONLINE