KUALA TERENGGANU – Seramai 150,000 permohonan menjadi warga negara telah diterima Kementerian Dalam Negeri (KDN) setakat ini.
Menteri KDN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, setakat ini, sebanyak 5,700 permohonan tersebut telah diproses sejak tahun lalu.
“Saya yakin boleh mencapai sasaran untuk meneliti 10,000 permohonan sehingga akhir tahun ini.
“Sebahagian permohonan yang telah diteliti tersebut telah diluluskan (status warga negara) manakala selebihnya ditolak,” katanya ketika ditemui pada majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Iftar KDN Madani di sini hari ini.
Saifuddin Nasution berkata, antara faktor penolakan ialah pemohon tidak menetap di negara ini dan dokumentasi yang tidak lengkap.
Jelas beliau, setiap penilaian permohonan berdasarkan syarat ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.
“Kita tidak akan tidak akan berkompromi dengan keselamatan negara, ketulenan permohonan dan komitmen jelas pemohon untuk menetap di negara ini.
“Pada masa sama, kita juga dalam proses mempersiapkan pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk (membolehkan) anak juga boleh beroleh warga negara melalui ibu,” katanya. – KOSMO! ONLINE