KOTA BHARU – Seramai 14 penyeludup termasuk seorang wanita ditahan selepas dipercayai terlibat dengan kegiatan menyeludup bunga api dan mercun dianggarkan bernilai RM115,679 sejak dua minggu lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kesemua suspek yang diberkas itu berusia dalam lingkungan 20 hingga 37 tahun.
Menurutnya, daripada jumlah itu, empat lelaki dan seorang wanita yang dicekup di Pasir Mas merupakan suspek yang paling banyak menyeludup barangan tersebut iaitu dengan nilai RM60,738.
“Kesemua mercun yang dirampas itu dipercayai diseludup dari Thailand dan ia akan dijual di pasaran negeri ini sehingga Hari Raya Aidilfitri.
“Selain Pasir Mas, polis turut menahan sembilan penyeludup lain di daerah Kota Bharu, Tumpat, Tanah Merah, Machang dan Pasir Puteh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhammad Zaki berkata, kesemua suspek ditahan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957. – KOSMO! ONLINE