GENEVA, SWITZERLAND – Kira-kira satu dalam enam penduduk dewasa di seluruh dunia mengalami masalah ketidaksuburan, demikian menurut satu laporan terbaharu dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang turut menggesa peningkatan akses kepada penjagaan kesuburan.
Ketidaksuburan diklasifikasikan sebagai penyakit pada sistem pembiakan lelaki atau wanita yang ditakrifkan oleh kegagalan untuk hamil selepas 12 bulan melakukan hubungan seksual secara kerap tanpa menggunakan alat pencegah kehamilan.
Menurut WHO, sekitar 17.5 peratus golongan dewasa di seluruh dunia terjejas oleh keadaan ketidaksuburan dalam waktu-waktu tertentu sepanjang hidup mereka, dengan terdapat sedikit perbezaan antara rantau kaya dan miskin.
“Di peringkat global, dianggarkan satu daripada enam orang mempunyai masalah sukar mendapatkan anak dalam tempoh tertentu kehidupan mereka.
“Ini tidak mengambil kira di mana mereka tinggal dan jenis sumber yang mereka miliki,” kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus.
Laporan serupa turut mendapati bahawa bagi seumur hidup seseorang, sebanyak 17.8 peratus orang dewasa di negara-negara berpendapatan tinggi mempunyai masalah ketidaksuburan manakala 16.5 peratus melibatkan penduduk di negara berpendapatan sederhana.
Selain itu, kadar ketidaksuburan tertinggi adalah 23.2 peratus di rantau Pasifik Barat manakala kadar terendah adalah 10.7 peratus di Mediterranean Timur.
Namun, WHO berkata, meskipun terdapat variasi dalam data berkenaan, perbezaan itu sama ada tidak ketara atau konklusif.
“Data yang dianalisis itu adalah dari tahun 1990 hingga 2021 dan sepanjang tempoh tersebut, kami tidak melihat sebarang bukti menunjukkan peningkatan kadar ketidaksuburan,” kata Ketua Kontraseptif dan Penjagaan Kesuburan WHO, Dr. James Kiarie.
Laporan berkenaan juga tidak mengkaji punca kepada keadaan tidak subur dan tidak melihat trend dari semasa ke semasa atau perbezaan kadar ketidaksuburan antara jantina.
“Ketidaksuburan menjejaskan berjuta-juta orang di seluruh dunia.
“Meskipun begitu, isu ini kurang dikaji, selain kekurangan dana bagi penyelesaiannya serta tidak dapat diakses oleh kebanyakan orang. Ia disebabkan oleh kos yang tinggi, pandangan masyarakat dan ketersediaan yang terhad,” kata Tedros.
Sementara itu, Ketua bahagian Kesihatan dan Penyelidikan Seksual serta Reproduktif WHO, Pascale Allotey menjelaskan, stigma yang dikaitkan dengan ketidaksuburan serta akses terhad kepada rawatan kesuburan menjadi penyebab masalah tersebut sukar diselesaikan.
“Kos untuk rawatan kesuburan menjadi cabaran yang sukar buat kebanyakan orang. Ini adalah isu yang serius dan menjadi perangkap kemiskinan perubatan yang kerap berlaku,” ujarnya.
Tambah Allotey, tekanan masyarakat turut menjadi kekangan utama di banyak negara, di mana kehamilan kekal menjadi perkara penting yang menentukan persepsi masyarakat terhadap ciri kewanitaan dan setiap pasangan.
“Kegagalan (untuk hamil) sering membawa kepada stigma yang buruk daripada masyarakat. Mereka yang mengalami masalah ketidaksuburan sering menderita dengan isu keresahan serta depresi,” kata Allotey. – AFP