BATU PAHAT – Orang ramai khususnya penduduk di sekitar pekan Yong Peng di sini, serta kawasan berdekatan tidak lagi berhadapan kekurangan telur ayam berikutan lambakan bekalan itu di kedai runcit serta pasar raya.
Ada pengguna yang sanggup datang dari jauh semata-mata untuk mendapatkan bekalan telur ayam di pekan tersebut berikutan harga yang agak murah berbanding sebelum ini.
Penduduk Tongkang Pecah, Nurul Syafikah Abu Talib, 27, berkata, lambakan telur ayam memberi peluang kepadanya untuk memborong lebih banyak bahan mentah itu sebagai bekalan awal membuat persiapan sambutan hari raya nanti.
Katanya, telur ayam yang dijual mengikut harga kawalan iaitu RM13.20 untuk sepapan (30 biji) gred A juga membolehkan mereka membuat kuih dan biskut raya sendiri.
“Kalau nak beli kuih raya yang sudah siap, harganya agak mahal berbanding sekiranya kita buat sendiri yang boleh dipelbagaikan mengikut keinginan.
“Syukur bekalan telur yang sebelum ini kurang sudah pulih semula,” katanya ketika ditemui di sebuah pasar raya di Yong Peng di sini semalam.
Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Ali, 45, memberitahu, bekalan telur ayam yang dijual di Yong Peng adalah daripada beberapa pengusaha berdekatan dengan pekan tersebut.
Katanya, keadaan tersebut membolehkan mereka tidak pernah terputus bekalan, malah ada kalanya stok berlebih-lebihan ekoran kekurangan permintaan.
“Alhamdulilah untuk sambutan hari raya nanti, bekalan telur ayam sememangnya mencukupi di Yong Peng dan tidak perlu bimbang kehabisan stok,” ujarnya.