GUA MUSANG – Dua laluan utama di Gua Musang mulai sesak apabila ditutup sepenuhnya sejak malam tadi untuk kerja pemasangan cerucuk jambatan bagi pembinaan Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 3B dan 3C.
Tinjauan Kosmo! di jalan menghala ke bandar Gua Musang bermula dari bulatan Tanah Putih ke simpang Kampung Pulai dan Jalan Kesedar Putra mendapati, laluan tersebut sesak dengan kenderaan pagi tadi.
Bagaimanapun, pengguna jalan raya boleh menggunakan laluan alternatif FT008 melalui hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, FT 2744 (hadapan Hospital Gua Musang) dan FT2746 (Jalan Pulai).
Seorang pengguna, Mohd. Samsuddin Ismail, 50, berkata, penduduk di sekitar bandar Gua Musang serta pengguna jalan raya yang lain tidak mengetahui jalan berkenaan telah ditutup dan masih boleh dilalui setakat semalam, sebelum ditutup sepenuhnya, malam tadi.
“Jalan itu ditutup pada waktu malam dan ramai pengguna yang tidak tahu mengenai perkara itu. Kami ingatkan, jalan itu tidak jadi tutup kerana ia masih dibuka untuk laluan kenderaan selepas beberapa hari Jabatan Kerja Raya (JKR) mengeluarkan notis.
“Saya sendiri terkejut apabila perlu menggunakan laluan alternatif pagi tadi. Ramai juga ibu bapa kelam kabut dan terperangkap dalam kesesakan sehingga anak lewat tiba di sekolah,” katanya.
Sementara itu, Jurutera Awam Penguasa Kanan Unit Projek Khas Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) 1 Cawangan Jalan, Ir. Mohd. Hamizi Abdullah dalam satu kenyataan berkata, penutupan jalan terbabit diteruskan da kenderaan perlu dilencongkan daripada memasuki kawasan pembinaan yang akan menyebabkan kesesakan teruk akibat daripada ‘bottle neck’ di tempat pembinaan selepas lampu isyarat Taman Wangi, di sini.
Katanya, lencongan sehala sebelum ini agak sempit dan dikhuatiri agak berisiko untuk menerima jumlah kenderaan yang banyak semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.
“Hujan lebat sebelum ini menyebabkan berlaku satu runtuhan cerun yang agak besar selepas bulatan Gua Musang menghala Kota Bharu. Sekiranya berlarutan, jalan terbabit juga akan ditutup.
“Pihak JKR LTU sudah membuat persediaan sebelum jalan ditutup apabila menaik taraf jalan alternatif iaitu dari jalan simpang Kampung Pulai ke simpang IPD Gua Musang,” katanya.
Tambahnya, pengguna jalan raya terutamanya perantau tidak perlu risau kerana jalan alternatif sudah disediakan dan pihaknya turut mengambil kira kemasukan kenderaan melalui daerah ini menjelang Hari Raya nanti. – KOSMO! ONLINE