fbpx

Dream Theater turun Singapura, Kuala Lumpur Mei depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SELEPAS enam tahun, Dream Theater akan kembali menghiburkan peminat tempatan dengan penganjuran konsert hebat di Zepp Kuala Lumpur pada 10 Mei depan.

PETALING JAYA – Kumpulan metal popular asal Boston, Amerika Syarikat, Dream Theater bakal singgah ke Malaysia dan Singapura dalam siri jelajah Top Of The World di Asia Tenggara, bulan depan.

Shiraz Projects selaku pengelola kedua-dua konsert menyatakan rasa bangga membawakan penerima Anugerah Grammy itu ke The Star Theatre, Singapura pada 9 Mei depan, disusuli persembahan di Zepp Kuala Lumpur pada keesokan malamnya, 10 Mei.

Penerbit Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim berkata, pihaknya berbesar hati menjadi sebahagian daripada rangkaian Top Of The World yang bermula di Seoul, Korea Selatan dan kemudian melalui beberapa negara sebelum jelajah berakhir di Indonesia.

“Pihak Shiraz Projects percaya peminat Dream Theater sudah lama teringin menyaksikan mereka kembali di sini membuatkan kami gembira dapat merealisasikan impian peminat tempatan dan seberang tambak,” katanya.

Dream Theater menamatkan jelajah United Kingdom 2023 pada 21 Februari lalu sebelum memulakan kembara di Seoul pada 26 April ini dan kemudian menuju ke Jepun untuk tiga hari meliputi Tokyo, Nagoya dan Osaka.

Selepas itu, mereka dijadualkan tampil di Singapura dan Malaysia, seterusnya mengakhiri detik indah bersama penggemar tegar di rantau ini dengan memilih Indonesia sebagai destinasi terakhir.

Pernah muncul di Kuala Lumpur pada September 2017, Dream Theater yang dibarisi James La Brie (penyanyi), John Petrucci (gitar), John Myung (bass), Jordan Rudess (keyboard) dan Mike Mangini (dram) mempunyai reputasi tersendiri dalam kalangan pengikut tegar genre rock metal.

Dikenali dengan ketelitian dalam penghasilan muzik, gubahan mereka digemari kerana bersifat progresif, kompleks dan padat terutama daripada permainan gitar Petrucci yang juga ‘mastermind’ band tersebut.

Petrucci adalah antara pemain gitar terhebat dunia dan diletakkan pada kedudukan kedua sebagai Pemain Gitar Metal Terbaik dalam buku The 100 Greatest Metal Guitarists keluaran 2009.

Album terakhir Dream Theater berjudul A View From The Top Of The World dilancarkan tahun lalu yang merupakan projek pertama dirakam di studio mereka sendiri iaitu Dream Theater Headquarters.

Band yang ditubuhkan pada 1985 itu dikhabarkan sedang membuat persediaan untuk produksi album studio ke-16 iaitu dua tahun selepas A View From The Top Of The World dihasilkan.

Dalam kesibukan mengelilingi Asia Tenggara dan menjayakan siri persembahan di lokasi lain, Petrucci mengesahkan mereka bakal kembali merakam album baharu sekitar akhir tahun ini.

Terdahulu, lagu The Alien dalam album yang diterbitkan pada 2021 membawa pulang trofi Grammy pertama mereka bagi kategori Persembahan Metal Terbaik di Anugerah Grammy ke-64 tahun lalu.

Menerusi kenyataan media, A View From The Top Of The World digambarkan sebagai muzik terbaik Dream Theater berikutan perkembangan bunyi yang mereka cipta.

Untuk konsert di Malaysia, tiket berharga RM700 (VIP), RM398 (Diamond – Standing), RM258 (Platinum – Standing), RM398 (Gold – Seated) dan RM258 (Silver – Seated) kini dijual menerusi laman web www.myticket.asia.

Sementara untuk konsert di Singapura pula, kadar tiket adalah $168 (Diamond), $148 (Platinum), $128 (Gold), $108 (Silver) dan $88 (Restricted View). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI