PUTRAJAYA- Tindakan sebuah stesen penyiaran satelit berbayar tempatan yang memaparkan ilustrasi azan dalam bentuk kartun disifatkan sebagai tidak salah malah ia juga dibolehkan.
Perkara itu disahkan Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Abdullah di mana beliau menyifatkan visual tersebut sebagai cara medium dakwah.
“Pada pandangan saya, adalah tidak salah penggunaan animasi tersebut sebagai alat media untuk tujuan pendidikan kepada kanak-kanak yang kecil.
“Selain itu, pandangan keharusan kartun sedemikian pernah diulas bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri pada 2016 lalu.
“Menerusi slot Irsyad Al-Fatwa, beliau ada menyatakan kartun bukan lukisan sempurna, malah ia cuma gambar yang memiliki ciri tersendiri tanpa ada unsur ciri hakiki,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Perkara itu juga ada dibangkit tokoh kontemporari Islam terkenal, Allahyarham Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang menganggap kartun bagi tujuan dakwah bukan perkara haram.
Sebaliknya, penggunaan animasi itu dituntut syarak jika mampu menjadi medium penting penyampaian dakwah dan ilmu bermanfaat kepada umat Islam serta orang bukan Muslim. – KOSMO! ONLINE