KUALA TERENGGANU – Seorang pejawat awam yang merupakan pegawai penguat kuasa sebuah agensi penguatkuasaan direman lima hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima rasuah RM2,500.
Perintah reman itu dibenarkan Majistret Noor Mazrinie Mahmood di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, siasatan awal mendapati lelaki berusia 32 tahun itu disyaki menerima suapan berjumlah RM2,500 daripada keluarga seorang banduan.
“Suapan itu dipercayai sebagai dorongan kononnya untuk membenarkan banduan itu diberi layanan istimewa di dalam penjara.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” katanya di sini hari ini.
Sumber SPRM berkata, terdahulu, suspek telah ditahan pada pukul 1.30 tengah hari kelmarin.
Katanya, lelaki berkenaan ditahan sewaktu memberi keterangan di pejabat SPRM kemaman. – KOSMO! ONLINE