fbpx

Perusuh jualan murah miskin adab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suasana bertukar kecoh apabila bilangan pengunjung yang datang terlalu ramai berikutan promosi harga baju raya RM1.
MARLIA ZAKARIA,
WARTAWAN EKSEKUTIF

Kejadian ‘rusuhan’ yang berlaku di sebuah butik di Shah Alam, Selangor baru-baru ini adalah signal kepada tahap atau status adab dan santun masyarakat kita pada hari ini.

Bukan penulis menidakkan kewujudan mereka yang berkeinginan atau tidak berkemam­puan untuk memiliki persalinan baru menjelang hari raya dengan tawaran menarik, tetapi ianya soal bagaimana keinginan itu dipenuhi.

Anak-anak yang sedang membesar sentiasa memerhati setiap tindak tanduk mereka yang lebih dewasa dan kita tidak mahu ge­nerasi akan datang terus menormalisasi, sekali gus mewarisi sikap sebegini.

Bukan sekali dua insiden begini berlaku dalam negara melibatkan tawaran hebat sedemikian rupa, namun ia masih tidak diambil ikhtibar sama ada bagi masyarakat mahupun pengusaha atau penganjur itu sendiri.

Pihak penganjur, jangan ambil kesempatan di atas keterujaan masyarakat kerana ia bukan sahaja boleh mencalarkan imej negara dan agama malah situasi begini boleh mengundang kecelakaan yang tidak terduga.

Ia secara tidak langsung juga boleh meningkatkan ‘budaya’ konsumenisme berlebihan di mana masyarakat lebih fokus kepada keinginan membeli bara­ngan murah berbanding meme­nuhi keperluan harian.

Pegawai Psikologi Kanan, Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia, Universiti Putra Malaysia, Siti Fatimah Abdul Ghani, berkata, tindakan itu secara terasnya bertentangan dengan adab dan tatasusila sebagai individu yang ‘beragama’.

Jelasnya, individu beragama pastinya jelas iaitu faham tentang batas-batas dalam tindakan walau apa pun alasan dan sebab.

“Kemiskinan moral menyebabkan rapuh emosi, tidak dapat menilai mana yang baik dan buruk. Sebab itu, penting­nya pengurusan emosi agar lebih matang dari segi pemikiran, pe­rasaan dan tindakan.

“Apabila pemikiran itu tidak diselaraskan dengan kesedaran, kematangan dan kemanusiaan, maka jadi rapuh emosi. Perlu ada pertimbangan akal dan kewarasan supaya tindakan yang diambil tidak melampaui batas,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dan menggesa supaya pihak pe­nganjur lebih bertanggungjawab pada masa akan datang.

“Kita perlu bijak menilai antara janji manis dan logik. Jika diperhalusi, memang tidak logik untuk tawaran tersebut. Andai ada sekalipun, pastinya sangat terhad dan bukan untuk semua orang.

Ujar Siti Fatimah, pihak pe­nganjur juga perlu jujur dan ja­ngan terlalu memberi harapan tidak masuk akal apatah lagi sekarang zaman tular dan promosi percuma tersebar sepantas kilat.

“Perlu lebih sensitif dengan ­respon orang ramai yang kemungkinan besar sangat berharap ‘jualan terlampau murah’ itu atas faktor-faktor tertentu dan apabila tak tertunai, maka itulah jadinya.

“Jika penganjur serius, maka perlu pastikan soal keselamatan, kemudahan asas, pengawalan dan kakitangan serta tempat itu bersesuaian. Usah buat kerja saat akhir atau tanpa peranca­ngan serius,” tegasnya.

Jika dilihat pada rakaman vi­deo itu, kita dapat rasakan mungkin ada yang tercedera, pengsan, membaling dan mencampak barangan ke dalam butik tersebut hanya kerana berebutkan baju yang dikatakan dijual pada harga RM1.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI