fbpx

Pelajar kolej maut dirempuh remaja langgar isyarat lampu merah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG pelajar kolej Kejururawatan maut dilokasi kejadian selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah motosikal lain ketika memasuki simpang ke sebuah pasar raya di Simpang Renggam, Kluang hari ini.

KLUANG – Seorang wanita maut akibat kecederaan parah di kepala dan badan selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah motosikal lain dalam kejadian di Kilometer 75 Jalan Johor Bahru – Ayer Hitam di hadapan sebuah pasar raya Simpang Renggam di sini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3.45 petang hari ini melibatkan seorang pelajar kolej kejururawatan, Nijha Ilhany, 21, yang menunggang motosikal Suzuki.

Menurutnya, seorang lagi mangsa membabitkan remaja lelaki berusia 16 tahun yang menunggang motosikal Modenas Kriss.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa (Nijha Ilhany) dalam perjalanan dari arah Johor Bahru ke Ayer Hitam, manakala remaja terbabit datang dari arah bertentangan.

“Ketika membelok masuk ke pasar raya, secara tiba-tiba lelaki itu datang dari hadapan dan terus merempuh motosikal dinaiki mangsa menyebabkan mereka berdua terpelanting dari kenderaan masing-masing.

“Akibat rempuhan itu, mangsa (Nijha) mengalami kecederaan parah di kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,”katanya melalui kenyataan hari ini.

Menurut Bahrin lagi, semakan mendapati remaja lelaki terbabit tidak mempunyai lesen selain melanggar isyarat lampu merah sebelum melanggar mangsa yang mempunyai lesen kelas B.

Ujarnya, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk bedah siasat, manakala remaja itu yang turut cedera parah di kepala kini dirawat di Zon Merah hospital sama.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan penjaga kepada remaja terbabit juga akan dipanggil untuk direkodkan keterangan,” katanya.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI