KUALA LUMPUR -Pasaran harta tanah di Malaysia masih belum melepasi paras pra pandemik meskipun terdapat penurunan jumlah harta tanah tidak terjual bagi tempoh 2018-2020.
Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, bilangan unit rumah siap dibina dengan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC), tetapi tidak terjual bagi tahun 2018 sebanyak 32,313 unit.
“Bagi tahun 2019 sebanyak 30,664 unit, tahun 2020 (29,565 unit), tahun 2021 (36,863 unit) dan tahun 2022 (27,746 unit).
“Berdasarkan maklumat tersebut terdapat penurunan jumlah harta tanah tidak terjual bagi tempoh 2018-2020 dan peningkatan semula pada tahun 2021.
“Prestasi pasaran harta tanah merekodkan peningkatan kecil pada 2021, tetapi masih belum melepasi paras pra pandemik yang dicatatkan sebelum 2020.
“Tiga negeri mempunyai harta tanah tidak terjual tertinggi secara purata bagi tempoh lima tahun iaitu Johor, Pulau Pinang dan Perak,” katanya pada sidang Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Lim Pay Hen mengenai statistik jumlah rumah “overhang” dan “sub-sales” di negara ini. – KOSMO! ONLINE