PETALING JAYA – Gara-gara memuat naik hantaran berbaur ugutan dan perkauman di akaun Facebook, seorang lelaki dicekup polis di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata, lelaki tempatan berusia 48 tahun itu memuat naik hantaran di akaun Facebook Nasrullah Nasir pada 23 Mac lalu.
“Permohonan reman terhadap suspek dibenarkan selama tiga hari bermula hari ini hingga 5 April.
“Kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengikut Seksyen 506 dan 505(c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu Noorsiah turut menegaskan agar orang ramai tidak menyalahgunakan media sosial atau sebarang rangkaian komunikasi.
Ujarnya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja mengancam ketenteraman dan keselamatan awam.
Terdahulu, lelaki tersebut memuat naik hantaran berbaur ugutan bunuh terhadap beberapa parti politik dan individu yang didakwanya menghina institusi diraja serta ulama sambil mengulang siar gambar kerabat diraja. – KOSMO! ONLINE.