PETALING JAYA – Pelakon dan pengacara, Haneesya Hanee kini mampu menarik nafas lega apabila penantian selama lapan tahun untuk menjalani pembedahan membetulkan tulang belakangnya akibat masalah skoliosis berjalan lancar.
Katanya, sepanjang awal usia belasan tahun hingga sebelum tarikh pembedahan pada 17 Mac lalu, dia menanggung kesakitan yang seboleh-boleh cuba disembunyikan selagi terdaya.
“Syukur pembedahan yang saya nantikan sekian lama selepas dikesan mempunyai masalah skoliosis atau tulang belakang melengkung pada 2015 berlangsung dengan lancar.
“Sebaik sedar dan mula berjalan saya dapat rasakan perbezaan ketara seakan sebuah bongkah batu besar telah diangkat dari bahu saya.
“Selama ini saya menanggung kesakitan yang sukar untuk diungkapkan apabila ‘rasa’ itu datang sehingga perlu bergantung kepada pil penahan sakit.
“Cuma individu terdekat saja tahu kerana saya enggan disangka meraih simpati. Saya ada kongsi di Instagram sebelum ini, tetapi orang tak tahu skala kesakitan ditanggung,” katanya kepada Kosmo! Online.
Susulan prosedur di sebuah pusat perubahan swasta, Pelakon Curi Curi Cinta itu memaklumkan diminta berehat sekitar tiga minggu sebelum dibolehkan kembali bekerja atau melakukan kerja berat.
“Proses penyembuhan ini difahamkan sangat cepat, cuma saya dinasihatkan supaya jangan mengangkat barang berat atau lasak jika mahu baik dalam kadar segera.
“Kalau sebelum ini kesakitan umpama sahabat baik, dalam tempoh dua minggu ini semuanya dalam keadaan sempurna. Kiranya rasa badan sangat ringan.
“Selepas tiga minggu saya dah boleh teruskan aktiviti harian macam biasa dan kerja, Insya-Allah,” katanya yang kini menyertai Pertandingan Ratu Wanita Malaya.
Ditanya kenapa baharu sekarang membuat pembedahan itu, Haneesya memaklumkan atas faktor perubatan iaitu pesakit perlu menunggu usia mencecah 20-an di mana proses tumbesaran tulang sudah berhenti.
Mengimbas kenangan lalu, pemilik nama penuh Sharifah Haneesya Hanee Sayed Sahlan, 23, berkata dalam keadaan tulang belakangnya bermasalah, perkara tersebut tidak pernah memadam impian meneroka arena seni.
Memulakan langkah sekitar 2010, akuinya doktor sendiri terkejut apabila dia mendedahkan turut aktif sebagai model yang memerlukannya berkasut tumit tinggi.
“Ada yang pelik macam mana saya boleh buat ‘catwalk’ dalam keadaan sebelum ini, namun macam saya katakan demi minat saya telan saja rasa sakit.
“Secara kasar memang tak perasan bahagian bahu saya berbeza tetapi sebagai model saya kena jaga ‘posture’ tubuh ketika bekerja atau di pentas peragaan.
“Masa di set penggambaran pun sama, sebab itu ibu sentiasa menemani saya kerana sakit datang tak tentu masa. Sedikit sebanyak bantuannya meredakan sakit.
“Lagi pun setakat ini saya tak dapat watak lasak, jadi boleh elakkan risiko tulang belakang semakin teruk. Sekarang saya tak sabar masuk set,” ulas anak jati Pulau Pinang itu.- KOSMO! ONLINE