LANGKAWI – Penduduk di sebahagian pulau peranginan di sini terpaksa menumpang mandi di pejabat dan mengambil air melalui pili bomba apabila kawasan mereka menghadapi masalah bekalan air sejak tiga hari lalu.
Tinjauan di beberapa kawasan di sini semalam mendapati, rata-rata penduduk mengalami masalah itu sejak 30 April lalu apabila notis gangguan bekalan air dikeluarkan oleh Syarikat Air Darul Aman (SADA).
Seorang penduduk Taman Dayang, Faranadiatul Wahyu Zulkaple, 34, berkata, dia sempat menadah kira-kira 45 liter air di dalam tiga tong sebaik SADA mengeluarkan notis tersebut.
“Kebiasaannya bekalan air terputus hanya selama setengah jam atau sejam pada waktu subuh, tetapi kali ini masalah ini berlaku selama tiga hari berturut-turut,” katanya.
Suhana Abdullah, 55, dari taman sama berkata, tangki air simpanan di rumahnya sudah kehabisan bekalan apabila tiga hari masalah tersebut berlarutan.
“Di taman ini ada beberapa tangki air SADA, tetapi baru semalam mereka datang mengisi air walaupun bekalan terputus sejak kelmarin.
“Tangki itu pula sangat kecil dan tidak mencukupi untuk kegunaan penduduk,” ujarnya.
Seorang penduduk Kampung Belanga Pechah yang enggan dikenali berkata, dia sudah hampir tiga hari tidak dapat membasuh pinggan dan pakaian kerana tiada bekalan air sehingga terpaksa mandi di tempat kerja.
“Notis SADA hanya sebut sehari masalah bekalan air akan berlaku, tetapi sehingga hari ini (semalam) kami masih belum mendapat bekalan, malah tiada lori air dihantar ke rumah.
“Semalam ada penduduk yang buka pili bomba, jadi saya terpaksa berulang-alik sejauh 300 meter untuk menadah air,” katanya.