GEORGE TOWN – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak berperanan menjadi ‘polis universiti’ untuk mengawal mana-mana universiti termasuk dalam soal berkaitan aktiviti politik di kampus.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini kerana matlamat KPT adalah melahirkan graduan yang mempunyai kekuatan pemikiran dan tidak terlalu taksub kepada satu aliran pemikiran sahaja.
“Saya tekankan bahawa KPT tidak berminat utk lakukan ‘educational policing’, kita kena faham perkara ini. Saya bukan polis yang mahu menjaga universiti.
“Kita nak bangunkan kesarjanaan universiti, katalah dekat luar sudah situasi yang toksik jadi kita bergantung kepada universiti untuk betulkan keadaan di luar,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai kemungkinan untuk membenarkan penubuhan cawangan parti-parti politik di peringkat universiti.
Mengulas lanjut, Mohamad Khaled berkata, sebelum ini beliau tidak menyebut bahawa parti politik akan dibenarkan menubuhkan cawangan di universiti.
“Semasa perbahasan dengan ahli Parlimen di Parlimen, mereka secara konsensus bersetuju bahawa ia bukan sesuatu yang wajar untuk benarkan parti politik wujud (di universiti).
“Memang cawangan parti politik tidak boleh wujud (di universiti), namun jika mereka mahu masuk (ahli politik) ke universiti mereka mesti mendapatkan kebenaran daripada pihak universiti,” jelasnya.- KOSMO! ONLINE