fbpx

Harap main lebih baik selepas tukar rumput

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kelihatan orang ramai mendapatkan rumput padang Cow Grass Stadium Nasional Bukit Jalil dengan percuma pada Jumaat lalu. FOTO FAIZ ALIF ZUBIR

MINGGU lepas, ramai orang berduyun-duyun ke Stadium Nasional Bukit Jalil. Ingatkan ada perlawanan melibatkan skuad kebangsaan, namun bukan itu yang berlaku di Rumah Harimau Malaya.

Orang ramai datang ke stadium susulan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) memberi kebenaran kepada mana-mana pihak yang berminat untuk mengambil dan membawa pulang rumput jenis Cow Grass di padang secara percuma.

Ini kerana PSM dalam proses menggantikan rumput baharu di padang Rumah Harimau Malaya daripada Cow Grass kepada rumput Zeon Zoysia.

Maka, tidak hairan mereka yang datang itu membawa segala peralatan bagai mahu berkebun termasuk skop, penyodok tangan, bakul, kereta sorong dan sebagainya ke stadium.

Petak rumput berukuran 1×1 kaki ditawarkan kepada orang ramai sempena kerja-kerja penggantian rumput kepada jenis Zeon Zoysia yang dilaksanakan 1 April dan sempena ulang tahun ke-25 Bandar Sukan Kuala Lumpur (KLSC).

Orang ramai pula tidak mahu melepaskan peluang untuk menjadikan rumput padang di Stadium Keramat negara sebagai tanda kenangan yang boleh ditanam di laman rumah masing-masing.

Selain rumput Cow Grass, Stadium Nasional pernah menggunakan rumput Bermuda Greenless Park (1998 -2005) sebelum Marimo Seashore Paspalum/Zoysia Material (2005-2013) dan Bermuda Mountain Green/ Princess (2013-2015).

Kali ini, padang Rumah Harimau Malaya akan menggunakan rumput jenis lain dipanggil Zeon Zoysia. Kenapa Zeon Zoysia? Rumput ini dikatakan sangat mudah menyesuaikan diri sehingga tumbuh subur dalam cuaca panas dan musim sejuk.

Pada masa sama, ia mempunyai ketahanan terhadap penyakit dan serangga yang lebih tinggi berbanding beberapa jenis rumput musim panas lain. Zeon Zoysia juga lebih lembut dan nampak mewah, malah mudah untuk dijaga berbanding jenis Zoysia Emerald yang memerlukan mesin pemotong kekili.

Justeru, penukaran rumput jenis Zeon Zoysia bukan dilakukan untuk suka-suka, sudah pasti banyak perkara diambil kira sehingga keputusan menukar rumput itu akan menyaksikan fasiliti sukan di negara ini meningkat kepada satu level.

Tidak dinafikan, mana-mana peminat sukan akan bersetuju bahawa prestasi pemain atau atlet sukan sebahagian besarnya bergantung kepada kualiti permukaan rumput, malah semua pertimbangan ini sebahagian besar berdasarkan tiga ciri rumput iaitu daya cengkaman, kekerasan dan keselesaan.

Banyak sukan arus perdana seperti golf, bola sepak, kriket, ragbi, besbol, tenis, hoki, boling padang dan pelbagai lagi dimainkan di gelanggang rumput. Rumput mengurangkan risiko kecederaan semasa bermain dengan bertindak sebagai kusyen semula jadi.

Jadi, persatuan sukan termasuk kelab-kelab bola sepak Malaysia perlu bertindak sama melaksanakan penukaran rumput terbaik untuk padang masing-masing kerana bukan hanya meningkatkan kualiti bahkan mengurangkan kekerapan kecederaan ke atas pemain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI