BAGI mengekalkan kedudukan pelakon, mereka seharusnya mempunyai profesionalisme yang tinggi lebih-lebih lagi apabila memegang watak sebagai pasangan bercinta.
Sifat tersebut harus ada dalam diri setiap pelakon supaya tidak terbawa-bawa perasaan sehingga tercetusnya cinta lokasi.
Tidak berdolak-dalih, pelakon Ezzaty Abdullah menyifatkan dirinya mempunyai keistimewaan apabila dapat memadamkan watak dengan segera selepas menyempurnakan sesebuah penggambaran.
Katanya, dia menjiwai peranan yang digalas dengan sepenuh hati, namun tidak terbawa-bawa perasaan terhadap pelakon lelaki gandingannya sehingga keluar dari set penggambaran.
“Saya memang seorang pelakon yang suka berada dalam zon sendiri. Kalau karakter mengenai percintaan, saya betul-betul akan mendalaminya.
“Kalau saya rindu watak yang sedang bercinta, saya akan mendalami sedalam-dalamnya mengenai karakter sahaja.
“Saya bercinta dengan karakter sahaja tidak melibatkan kehidupan sebenar. Habis penggambaran saya tidak fikir langsung mengenai apa yang terjadi,” kata pelakon Ijab Kabut itu.
Ezzaty berkongsi perkara berkenaan merujuk lakonannya menerusi drama Liar memegang watak Katy di mana dia curang di belakang suaminya walaupun kelihatan seolah-olah isteri yang baik.
Dia juga mengakui enggan terbawa-bawa emosi hingga ke luar set dengan menetapkan minda semasa menjalani penggambaran dalam apa jua projek.
“Jika orang tanya apa yang saya fikir untuk menangis semasa membawa watak, saya tidak akan kaitkan dengan kehidupan peribadi.
“Contohnya dalam drama bersiri Liar saya bercinta dengan Wan Raja jadi saya memang sayangkan karakter lelaki itu sahaja.
“Ibaratnya senang ‘switch on and off’ (mudah berubah). Mungkin tidak mudah bagi orang lain, cuma saya sudah menetapkan garis di situ,” ujar isteri kepada Azwan Kombos itu.
Berkongsi lanjut mengenai pekerjaannya, Azwan sebagai suami sangat memahami kerja yang dilakukan oleh Ezzaty memandangkan dia juga merupakan seorang pelakon.
Meskipun mengetahui pekerjaan isteri, ibu kepada anak dua itu tahu menjaga batas ketika menjalani penggambaran sesebuah projek.
“Azwan sokong apa sahaja watak yang saya bawa. Mungkin dia faham pekerjaan saya sebab kami sama-sama pelakon.
“Sebagai isteri, saya pula tahu di mana batas-batas yang perlu dijaga dan begitu juga dengan Azwan, yang akan bercerita tentang sahaja yang berlaku semasa penggambaran,” tutupnya.