PARIT – Bekalan air ke daerah Manjung dan Perak Tengah yang terjejas sejak empat hari lalu melibatkan hampir 80,000 akaun premis dijangka pulih lebih 50 peratus esok.
Ia kerana sehingga pagi ini, kerja-kerja pembaikan paip air yang terputus akibat pergerakan tanah tebing Sungai Perak di Loji Rawatan Air (LRA), Teluk Kepayang, Bota, dekat sini sudah siap kira-kira 95 peratus.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, menjangkakan bekalan air ke dua daerah itu akan pulih sepenuhnya sebelum Sabtu ini.
“Jangkaan kita sebelum ini dalam situasi buruk, bekalan air dijangka hanya akan pulih pada 8 April tetapi bila lihat perkembangan kerja-kerja pembaikan sekarang, dijangka bekalan pulih sepenuhnya lebih awal.
“Sehingga hari ini, lebih kurang 30 peratus bekalan sudah berjaya disalurkan kerana kerja-kerja dilakukan 24 jam bagi memastikan bekalan air dapat disalurkan ke tempat yang perlu diberi keutamaan seperti di Hospital Seri Manjung (HSM) dan tempat tertentu, dan mulai semalam ia sudah berjaya disalurkan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di LRA Teluk Kepayang di sini hari ini.
Sebelum ini, akhbar ini melaporkan sebanyak 79,360 akaun bekalan air di daerah Manjung dan Perak Tengah mengalami gangguan bekalan air sejak tengah hari Jumaat lalu selepas paip bagi menyalurkan air tersebut terputus.- KOSMO! ONLINE