fbpx

Anak muda usaha coq kembong 4 generasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMMAD DANIAL (kanan) bersama ahli keluarganya memilih untuk mengekalkan perniagaan warisan coq kembong sejak 80 tahun lalu.

SEBERANG PERAI – Seorang pemuda dari Tasek Gelugor, di sini menjadikan bisnes menjual ‘coq kembong’ sebagai inspirasi bagi menyambung legasi perniagaan yang diusahakan moyang­nya dari Kerala, India sejak 80 tahun dahulu.

Pemilik Coq Kembong Wari­san Mail Roti Tasek Gelugor, Muhammad Danial Izzuddin Mohammad Sabarullah, 25, berkata, moyangnya, Maidin Mohammad merupakan seorang pembuat roti di daerah itu sebelum menjadi pengusaha kuih pak tongko atau cakoi sekitar tahun 1930-an.

“Coq kembong adalah inovasi daripada kuih pak tongko dan cakoi. Yang membezakannya ialah dari segi bentuk, iaitu pak tongko atau cakoi panjang, manakala coq kembong berbentuk segi empat.

“Semasa zaman moyang berniaga, kuih tersebut hanya dimakan begitu sahaja, namun setelah melalui peredaran zaman dan masa kami telah menginovasikan makanan ini bersama beberapa jenis kuah yang bersesuaian de­ngan selera masyarakat tempatan,” katanya ketika ditemui di gerainya yang terletak berhampiran Masjid Jamek Jarak Atas, Tasek Gelugor, di sini.

Anak kedua dari empat beradik itu berkata, kuih tersebut disediakan bersama kuah kacang dan sambal ikan bilis, namun bagi mencipta kelainan dia dan bapanya, Mohammad Sabarullah Shaik Ismail, 55, turut menawarkan perisa coklat, susu dan kaya yang dilihat mampu menarik minat lebih ramai pelanggan.

MUHAMMAD DANIAL mengusahakan perniagaan coq kembong di gerainya yang terletak berhampiran Masjid Jamek Jarak Atas, Tasek Gelugor di Butterworth.

“Tak sangka sambutan yang diterima begitu menggalakkan. Ia sedikit sebanyak mendorong saya untuk menjadikan perniagaan ini sebagai pekerjaan tetap meskipun saya bukan pelajar kulinari,” katanya yang merupakan graduan Kolej Komuniti Seberang Jaya dalam jurusan elektrik.

Dia yang juga merupakan gene­rasi keempat perniagaan itu berkata, nama coq kembong adalah berasal daripada perkataan cucur atau dalam bahasa utara disebut ‘coq’ manakala ‘kembong’ merujuk kepada rupa kuih yang mengembang apabila di­goreng dalam minyak panas.

“Ia adalah sejenis kuih yang diperbuat daripada adunan tepung gandum dan digoreng untuk dijadikan hidangan sam­pingan yang cukup sinonim dalam kalangan masyarakat tempatan sama ada untuk santapan waktu pagi mahupun petang.

“Ilmu menguli tepung dan resipinya berasal dari moyang yang diturunkan kepada datuk, sete­rusnya ayah dan kini kepada saya, manakala bagi resipi kuah kacang pula daripada isteri kepada moyang, Aminah Mat Isa.

“Jika sebelum ini ayah yang melakukan kerja menguli tepung dan memasak kuah kacang, sekarang ilmu tersebut telah saya warisi dan ayah kini berperanan sebagai pemantau dan penasihat,” katanya sambil menambah, pada hari biasa sebanyak lima kilogram tepung gandum digunakan, bersamaan 250 biji coq kembong.

MOHAMMAD SABARULLAH dan isteri, Hasni Azizan turut membantu menjual coq kembong di gerai anak mereka jika berkelapangan.

Harganya pula amat berpatutan iaitu 50 sen sebiji beserta kuah kacang, susu, kaya atau coklat, manakala kuah sambal ikan bilis pula dijual pada harga RM3 untuk satu set yang memiliki tiga biji.

Di sebalik kecekalannya dalam menimba pengalaman menguruskan perniagaan di usia muda, Muhammad Danial bersyu­kur kerana mempunyai sistem sokongan dari keluarga yang tidak putus memberi tunjuk ajar dalam selok-belok perniagaan bagi memastikan dirinya tidak tersasar jauh.

“Ayah banyak beri tunjuk ajar. Jika dikenang kembali memang terharu dengan jasa dan pengorbanannya, yang mana sebelum ini ayah perlu melakukan kerja sampingan dengan berniaga coq kembong meskipun pada masa yang sama mempunyai kerja hakiki iaitu sebagai seorang guru.

“Atas sebab itulah saya berazam untuk memastikan makanan ini bukan hanya dijual di gerai semata-mata, sebaliknya akan mempunyai kilang bagi mengeluarkan produk ini hingga ke pasaran yang lebih luas,” katanya yang kini mengikuti kursus keusahawanan untuk tempoh dua tahun bagi meningkatkan ilmu dan pengetahuan dalam bidang perniagaan.

Orang ramai yang berminat untuk membuat tempahan boleh menghubungi Muhammad Danial Izzuddin di talian 018-470 2644.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI