PETALING JAYA – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mengeluarkan empat Surat Perintah Hadir (SPH) berhubung kesalahan tidak menghormati Ramadan.
Jawi dalam kenyataan berkata, semua tindakan itu dibuat menerusi Ops Ramadan yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan Jawi sejak 23 Mac lalu sehingga kini.
“Tindakan tersebut susulan aktiviti pemantauan dan rondaan yang dilaksanakan dari semasa ke semasa sepanjang bulan Ramadan di beberapa buah premis menjual makanan sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
“Empat SPH dikeluarkan atas kesalahan tidak menghormati Ramadan yang diperuntukkan di bawah Seksyen 15 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559),” katanya, hari ini.
Tambahnya, individu didapati terlibat boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali. – KOSMO! ONLINE.