PETALING JAYA – Bersyukur masih meraih kepercayaan penerbit di tengah-tengah kebanjiran pelakon baharu ketika ini, Fendy Bakry mengakui era takut terhadap persaingan sudah lama berlalu.
Katanya, disiplin dan mudah memberikan kerjasama kepada semua yang terbabit dalam produksi sentiasa dititikberatkan sejak dahulu bagi melancarkan kerjaya.
“Lebih sedekad lalu mungkin takut. Ketika mula-mula terbabit dalam industri seni kita kena membina nama bagi membolehkan produser dan pengarah nampak.
“Memang wujud rasa takut lebih-lebih lagi ketika itu saya masih baharu, tetapi selain jadi pelakon tambahan saya jadi kru belakang tabir hingga dapat kepercayaan sebagai aktor pembantu.
“Masa itu saya gunakan Facebook untuk kumpul pengikut tapi syukur berkat sabar, tak menyerah kalah dan disiplin membolehkan saya dapat peranan utama.
“Seiring peredaran masa saya tidak lagi dihimpit rasa bimbang kerana percaya kepada rezeki. Apa yang saya teruskan adalah jaga masa serta bagi sepenuh kerjasama,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada majlis berbuka puasa Nostalgia Retro RayaXMAHA di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, baru-baru ini.
Kata bintang utama drama Mr. Grey itu, paling utama sekarang adalah memastikan dirinya terus mampan dalam arena seni dengan berani mencuba pelbagai watak termasuk komedi.
Malah akui aktor berusia 34 tahun itu, sebagai persediaan masa depan dia semakin giat mengusahakan perniagaan persalinan raya selain baju untuk kucing.
Katanya, minat terhadap penjagaan haiwan peliharaan kebanyakan isi rumah itu mendorongnya merealisasikan bisnes berkaitan kucing yang dilihat mempunyai potensi besar.
“Saya sendiri memelihara 13 ekor kucing dengan meletakkan sejumlah peruntukan untuk makanan, kesihatan, penjagaan dan tidak ketinggalan aksesori.
“Jadi kenapa tidak saya fokus terhadap perkara yang saya suka ditambah mempunyai pengalaman selain tunjuk ajar rakan yang lebih dulu terbabit dalam bidang ini.
“Buat permulaan saya jual baju untuk si manja pada harga tidak lebih RM50 dan mungkin selepas ini dapat buka kedai lebih besar dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan lain,” katanya.
Pada masa sama Fendy atau nama sebenar Mohd. Affandi Nor Bakri bersama isterinya, Ayu Afnizar, 30, turut memasang impian menubuhkan pusat untuk kucing terbiar. – KOSMO! ONLINE