SHAH ALAM – Bomba menyelamatkan seorang wanita orang kelainan upaya (OKU) yang dipercayai cuba terjun kali kedua akibat tekanan perasaan di bangunan Kompleks PKNS, Seksyen 14 di sini, hari ini.
Kejadian itu disedari pengawal keselamatan yang terkejut melihat mangsa berusia lingkungan 20-an berkenaan bersendirian di tebing tingkat empat bangunan tersebut.
Pengarah Bomba Selangor, Morni Mamat berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 11.42 pagi.
Katanya, sepasukan 10 anggota termasuk pegawai dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam dikerah dalam operasi menyelamat berkenaan.
“Pemeriksaan mendapati wanita itu didapati berada bersendirian di tebing kompleks berkenaan dalam keadaan menangis.
“Anggota bomba kemudian memujuk mangsa selama lima minit dan menyelamatkannya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelas Morni, mangsa yang tidak mengalami kecederaan kemudian diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, siasatan mendapati ia cubaan kedua wanita berkenaan cuba terjun dari bangunan tersebut.
“Mangsa mempunyai masalah mental iaitu tekanan perasaan akibat cinta yang disahkan oleh hospital.
“Wanita itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi rawatan lanjut,” katanya.
Pada Mei tahun lalu, Kosmo! melaporkan polis menyelamatkan seorang gadis yang cuba terjun akibat masalah kemurungan di bangunan sama. – KOSMO! ONLINE