SHAH ALAM – Kira-kira 500 pengunjung membanjiri sebuah kedai pakaian di Seksyen 7 sini sebelum berlakunya kekecohan bagi merebut menjadi 100 pelanggan awal membeli pakaian Aidilfitri
pada harga RM1, semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, siasatan awal pihaknya menerima aduan mengenai insiden tular itu, kira-kira pukul 10.30 pagi.
Katanya, siasatan mendapati kekecohan berlaku ekoran kedai itu membuat promosi pembelian pakaian kepada pelanggan terawal.
“Bagi 100 pelanggan pertama, mereka dapat membeli pakaian dengan harga RM1 manakala 50 orang berikutnya akan mendapat baju kurta percuma.
“Lebih 500 pengunjung dianggarkan membanjiri premis itu untuk mendapatkan harga promosi berkenaan sehingga berlaku tolak menolak dan kekecohan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Mohd. Iqbal atas faktor keselamatan, pengurusan kedai itu bersetuju menghentikan operasi premis kira-kira pukul 11.45 pagi.
“Langkah itu berikutan pihak tersebut tidak dapat mengawal jumlah pengunjung yang hadir.
“Tiada laporan polis dibuat mana-mana pihak berhubung kejadian itu setakat ini dan tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku,” ujarnya.
Tambah beliau, orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang promosi musim perayaan yang ditawarkan.
Kosmo! terdahulu melaporkan kecoh dan tular di media sosial mengenai sebuah video yang menunjukkan orang ramai berpusu-pusu di hadapan sebuah butik, ‘bersedia’ menunggu pintunya dibuka demi mendapatkan baju raya berharga RM1. – KOSMO! ONLINE
@hazwanjaafar Berpusu-pusu manusia demi #rm1 #bajumurah #shahalam #fyp #starvilion #kecoh #raya #raya2023 ♬ original sound – aurazra