PETALING JAYA – Vendor karipap berkulat yang tular dijual di bazar Ramadan baru-baru ini mengaku menjual semula karipap yang tidak laku.
Perkara itu didedahkan oleh ‘mangsa’ yang sudah terbeli karipap tersebut melalui satu hantaran di Facebooknya hari ini.
Pembeli tersebut yang dikenali sebagai Emma Razali berkata, perkara itu diketahui selepas pertemuan yang diadakan bersama dirinya, peniaga, vendor dengan kehadiran pihak Kementerian Kesihatan (KKM) kelmarin.
“Setelah bertentang enam mata antara pihak saya, peniaga bazaar, vendor karipap bersama kehadiran pihak KKM, akhirnya kami telah mengetahui punca karipap kulat tersebut.
“Peniaga bazaar hanyalah sebagai orang tengah yang mengambil sedikit komisyen bagi menjual kuih-kuih dari vendor. Vendor telah mengakui silapnya di mana karipap itu sememangnya karipap hari semalam yang telah dikitar semula untuk dijual,” katanya.
Menurut Emma, kejadian itu berlaku pada hari Khamis, dan karipap yang dijual adalah karipap jualan hari Rabu yg tidak habis.
“Peniaga bazar telah maklumkan vendor bahawa jualan tersebut tidak habis, dan bertanya untuk ambil semula atau tidak.
“Pihak vendor meminta peniaga simpan dalam peti sejuk, tetapi peniaga memberitahu peti sejuknya tidak muat dan bertanya bolehkah karipap diletakkan di luar (suhu bilik),” jelasnya.
Katanya, kerana faktor rumah yang jauh dan peniaga memberitahu sudah lewat malam, vendor bersetuju karipapnya diletakkan di suhu bilik sehingga keesokan harinya.
“Peniaga membawa enam bekas karipap tersebut ke bazar dan vendor sendiri datang ke bazaar melihat keadaan terkini karipap yang tidak habis tersebut.
“Dia meminta peniaga meneruskan penjualan karipap tersebut kerana katanya inti karipap yg dibuat masih baru dan yakin karipap masih dalam keadaan elok,” ujarnya.
Dalam pada itu, Emma memaklumkan ibunya tidak mengalami sakit perut atau mengalami simptom keracunan makanan, bagaimanapun kakaknya terkena cirit-birit dua kali pada pagi Jumaat.
“Saya telah membuat aduan di saluran yang betul terhadap KKM dan pihak berkuasa juga telah melakukan pemeriksaan ke gerai bazar tersebut pada Jumaat selain menyerahkan kesemua karipap berkulat untuk dihantar ke makmal.
“KKM juga telah bertindak memeriksa tempat pembuatan karipap iaitu rumah vendor terbabit di hari yang sama,” katanya.
Selain itu katanya, pihak KKM turut memberitahu makanan yang dijual sepatutnya tidak boleh melebihi empat jam dari waktu pembuatan. – KOSMO! ONLINE