PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari membuat keputusan tepat apabila menurunkan Arif Aiman Hanapi dan pemain itu menjadi watak penting pasukan ketika menewaskan Sabah FC 4-0 pada aksi Liga Super malam kemarin.
Pada perlawanan itu, Arif Aiman menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-20 sebelum melakukan bantuan gol kepada Syahmi Safari meledak gol ketiga JDT untuk meraih kemenangan selesa.
Solari berkata, pada awalnya dia tidak tahu sama ada Arif Aiman dan Endrick Dos Santos yang dilepaskan daripada kem latihan Harimau Malaya cergas sepenuhnya untuk diturunkan menentang The Rhinos, kelmarin.
“Sebenarnya, kami tak tahu sekiranya mereka dapat diturunkan sehingga sehari sebelum perlawanan. Sebabnya mereka tidak dapat berlatih sebaiknya selepas dilepaskan daripada kem latihan skuad kebangsaan.
“Ini hasil usaha pasukan perubatan JDT yang melakukan tugas baik sepanjang proses pemulihan pemain hingga berupaya untuk diturunkan pada saat akhir.
“Arif Aiman menunjukkan kesungguhan untuk bermain dan melakukan tugas yang baik malam ini. Dia menunjukkan komitmen tinggi untuk beraksi dan mahu diturunkan, dia adalah watak penting buat JDT,” katanya.
Katanya, kecederaan buku lali yang dialami Dos Santos tidak begitu serius dan mampu berada di prestasi terbaiknya dalam masa terdekat setelah kembali menyesuaikan diri dengan gaya permainan Harimau Selatan.
“Yang penting mereka dapat berikan yang terbaik. Saya berpuas hati dengan semua pemain pada malam ini walaupun mereka bermula di bangku simpanan, mereka tetap mampu beri nilai tambah untuk pasukan,” ujarnya.
Katanya, banyak perkara yang boleh dipelajari dari perlawanan menentang The Rhinos yang menyaksikan pemain mempamerkan kesungguhan dari setiap aspek.