LONDON – Newcastle United bakal menjadikan April sebagai bulan paling penting buat perjalanan kelab musim ini untuk cuba merebut satu slot ke saingan Liga Juara-Juara, musim depan.
Selepas dikecewakan pada final Piala Liga Inggeris di Stadium Wembley, Februari lalu, misi besar Newcastle United pada Liga Perdana Inggeris (EPL) akan diteruskan dengan menentang lawan sama, Manchester United di St. James’ Park malam ini.
Skuad kendalian Eddie Howe nyata tidak pernah hilang motivasi untuk catatkan keputusan baik dan jika mampu mengatasi Red Devils, The Magpies berpeluang melonjak ke tangga ketiga Liga Perdana Inggeris.
“Ia menjadi bulan yang cukup sibuk. Setiap kali kami harungi tempoh mencabar, pada akhirnya kamu akan tahu hanya keputusan akan menentukan apa yang kami lakukan sepanjang musim ini.
“Kami memiliki dua kemenangan menentang Wolverhampton dan Nottingham Forest yang mampu meletakkan kami di kedudukan baik untuk meningkatkan tahap keyakinan serta moral pasukan.
“Tugas sulung kami untuk bulan ini adalah menentang United, jadi kami perlu fokus pada itu saja dan cuba belajar daripada kekalahan pada Piala Liga Inggeris sebelum ini,” katanya.
Selepas aksi dengan United, Newcastle bakal harungi cabaran seterusnya dalam enam lagi aksi yang bakal dilangsungkan sepanjang April ini. – AGENSI