PETALING JAYA – ‘Muak’ disajikan pelbagai kandungan merapu dan melalaikan, orang ramai memuji usaha seorang pemuda menghidupkan amalan membaca al-Quran.
Lebih meraih perhatian, aktiviti yang dikongsikan Qawiyaro di TikTok tersebut, diadakan dengan cara yang kreatif sekali gus menarik minat golongan belia di tengah bandar raya Kuala Lumpur.
“Sambung ayat al-Quran dapat RM50 di Pavilion,” katanya ringkas.
Bertempat di Pavilion, rata-rata teruja dengan tawaran Qawiyaro itu jika ada yang berjaya menyambung ayat al-Quran yang dibacanya.
“Masih ada yang mampu membaca ayat suci tanpa tersasul. Walaupun dekat tengah bandar masih ada yang tak malu untuk sertai,” kata seorang pengguna.
“Suka content (kandungan) macam ni. Tahniah bang,” komen Afiq.
“Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar, bagus ‘content’ yang menghidupkan al-Quran,” ujar ImanMutiara.
Sehingga kini, perkongsian tersebut berjaya meraih sebanyak 2.7 juta jumlah tontonan. – KOSMO! ONLINE