fbpx

Kumpulan Geng Sara didakwa rompakan bersenjata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saravanan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret Johor Bahru atas 11 pertuduhan, hari ini.

JOHOR BAHRU – Ketua kumpulan jenayah Geng Sara dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini hari ini atas 11 pertuduhan termasuk melakukan rompakan bersenjata berkumpulan, memiliki senjata api tiruan serta mendatangkan kecederaan selain memiliki dadah, antara Februari hingga Mac lalu.

Tertuduh, A. Saravanan, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail, Hakim Fatimah Zahari dan Majistret Mohd Zulhilmi Ibrahim.

Mengikut dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen, Saravanan didakwa secara bersama S. Vivekanandan, 36, melakukan rompakan berkumpulan bersenjata menggunakan pisau ke atas seorang wanita berusia 24 tahun dengan melarikan pasport mangsa, wang tunai dan melarikan peti besi mengandungi RM4,589 milik kedai runcit serta empat buah telefon bimbit jenama Vivo.

Mereka didakwa melakukan rompakan itu di sebuah kedai runcit di Jalan Perdagangan 3, Taman Universiti, Skudai pada pukul 3 petang, 10 Mac lalu.

Manakala satu pertuduhan, mereka berdua bersama seorang lagi rakan, R. Ganapathy, 37, melakukan rompakan di sebuah apartmen di Jalan Persiaran Senibong, Masai di sini pada 2 pagi, 11 Mac lalu.

Pertuduhan itu dilakukan mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau dengan sebatan, jika sabit kesalahan.

Di Mahkamah Majistret pula, Saravanan turut membuat pengakuan tidak bersalah lapan pertuduhan termasuk dibawah Seskyen 36 Akta Senjata Api 1960 (senjata api tiruan), Seksyen 411 Kanun Keseksaan (curi kenderaan), Seksyen 457 Kanun Keseksaan (pecah rumah), Seksyen 324 Kanun Keseksaan (mendatangkan kecederaan) selain Seksyen 39(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (memiliki dadah).

Kesemua kesalahan itu dilakukan tertuduh bersama rakannya itu selain seorang lagi tertuduh di sebuah rumah di Jalan Bukit Kempas 1/17, Taman Bukit Kempas, Kempas; stor syarikat kurier di Kawasan Perindustrian Maju Jaya, Kempas selain di Pangsapuri Lily Jasmin, Jalan Titiwangsa 14/2, Taman Tampoi Indah, Tampoi di sini.

Mereka secara bersama melakukan jenayah itu antara pukul 5.20 pagi 24 Februari, 8.20 malam 25 Februari dan 2 pagi serta 2.30 petang 11 Mac lalu.

Bagi kesemua pertuduhan itu Saravanan dibenarkan diikat jamin keseluruhan RM59,000 dengan seorang penjamin selain perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 9 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M. Raveena, Noor Idayu Salim dan Muhammad Arif Marzuki. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI