PETALING JAYA – Selepas melabelkan seorang wanita sebagai penyondol dengan memuat naik gambarnya dalam Instagram, awal pagi tadi Datin Fauziah Sarman seakan mengesahkan pula individu tersebut sebagai isteri baharu kepada suaminya, penyanyi Datuk ND Lala.
Perkara tersebut didedahkan menerusi kapsyen pendek yang disunting semula dalam hantaran sama menerusi akaun @mamazie68.
Malah tanpa memberikan sebarang perincian, ibu kepada empat cahaya mata itu turut menambah gelaran Datin di hadapan nama wanita terbabit.
“Isteri Datuk ND Lala. Datin Siti Munirah Abdul Ghani,” tulisnya ringkas.
Petang semalam, tindakan Fauziah yang juga ibu kepada penyanyi Shila Amzah memuat naik foto hitam putih seorang wanita bertudung bersama kapsyen ‘mengundang’ nyata mengejutkan ramai.
Perkongsian tersebut seolah-olah mengiyakan gosip yang bertebaran sebelum ini berkenaan seorang penyanyi dan pelakon popular era 1980-an berkahwin lagi dengan wanita muda.
Walaupun dilihat berada di belakang suaminya, sesekali Fauziah, 55, seperti memberikan bayangan berkenaan kemelut rumah tangganya dalam media sosial.
Malah daripada sumber, difahamkan wanita yang didakwa merupakan pengacau dalam rumah tangga Fauziah dan ND Lala itu dipercayai rakan sekolah Shila.
Lebih meyakinkan, ada sesuatu tidak kena sedang berlaku apabila sebelum ini, anak sulungnya itu menerusi Instagram pernah mencari wanita bernama Siti Munirah yang juga satu sekolah dengannya.
Terdahulu, ND Lala dan Fauziah baru meraikan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-35 pada Februari lalu.
Pasangan yang jarang berenggang itu berkahwin pada 1989 selepas berkenalan ketika sama-sama menjayakan program Mekar Sejambak di Radio Televisyen Malaysia (RTM). – KOSMO! ONLINE