fbpx

Anak yatim guna duit sumbangan RM250 beli baju raya adik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMMAD FITRI NASRULLAH (dua dari kiri) mencuba pakaian baharu di pusat beli-belah KTCC, Kuala Terengganu semalam.

KUALA TERENGGANU – Seorang kanak-kanak anak yatim yang terpilih pada program sumbangan baju raya berhati mulia apabila tidak lupa untuk turut membeli pakaian baharu buat adik lelakinya.

Muhammad Fitri Nasrullah Mohd. Rosdi, 10, berkata, dia menggunakan sebahagian peruntukan RM250 diberikan Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd. (EPIC) untuk memilih pakaian baharu buat adik lelaki berusia sembilan tahun.

Murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan Padang Hiliran berkata, dia dan adiknya amat terkesan dengan kehilangan bapa akibat kanser hati pada tahun lalu.

“Beberapa hari lalu, ibu (Lailatul Hayatul Mohd Nor, 39) beri­tahu belum cukup duit ­untuk membeli pakaian raya buat kami adik-beradik. Saya faham sebab ibu bertungkus-lumus menyara kami dengan menjual kuih.

“Alhamdulillah, sebaik pe­ngurusan EPIC memberitahu saya boleh memilih apa-apa pakaian dengan peruntukan RM250, saya gunakan sebahagiannya untuk membeli seluar dan baju untuk adik juga,” kata­nya ketika ditemui di sebuah pusat beli-belah di sini semalam.

Katanya, pakaian baharu tersebut akan digayakan bersama adiknya pada Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Dalam pada itu, dia me­ngakui bersedih kerana kali pertama menyambut puasa dan Syawal tanpa kehadiran bapa tersayang yang meninggal dunia pada hari kedua Ramadan tahun lalu.

“Sepanjang hayatnya, ayah sentiasa berusaha membelikan makanan istimewa untuk berbuka puasa bersama-sama.

“Saya juga rindu kenangan ayah bawa kami solat sunat tarawih di masjid,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif EPIC, Ridzuan Ali berkata, EPIC yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri Terengganu memperuntukkan RM60,000 bagi meraikan 80 murid kurang bernasib baik pada program Jalinan Kasih Ramadan tahun ini.

Selain pakaian raya bernilai RM250, setiap kanak-kanak itu juga diberi duit raya RM150.

“Kakitangan EPIC menemani kanak-kanak terpilih membeli pakaian raya sebelum dibawa berbuka puasa di hotel agar mereka ceria pada bulan mulia ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI