PETALING JAYA – Siapa sangka, campuran air pisang dan strawberi yang dirasakan pelik sebenarnya menyelerakan bagi menghilangkan dahaga ketika berbuka puasa.
Menu daripada cetusan idea seorang gadis, Athirah Natasha Sudirman, 23, dan beberapa ahli keluarganya itu dihasilkan bagi memberikan keunikan dan kelainan juadah yang dijual di Bazar Ramadan Seksyen 20, Shah Alam.
Katanya, dia ingin menghasilkan minuman yang lain daripada yang lain bagi menarik pengunjung yang datang untuk membeli juadah.
Lebih mengujakan, campuran air pisang dan strawberi itu telah dijual selama hampir enam tahun dan merupakan jualan air tradisi yang hanya boleh didapati di gerai miliknya.
Campuran pisang dan strawberi itu menggunakan buah yang segar dan bukannya perisa kordial semata-mata.
“Buah yang kami pilih adalah berkualiti.
“Penting untuk kami pilih bahan yang elok supaya dapat mengekalkan rasa dan kualiti pada setiap masa,” katanya di sini semalam.
Athirah Natasha memberitahu, air pisang strawberi itu juga boleh didapati dalam pelbagai saiz, sesuai dengan permintaan dan bajet pelanggan.
“Kita ada pelbagai pilihan saiz untuk pelanggan bermula dari cawan kecil sehingga besar.
“Kami juga ada menjual dalam bungkusan plastik,” ujarnya.
Harga air pisang strawberi itu bermula dari RM3 hingga RM5 mengikut saiz dan permintaan pengguna. -KOSMO! ONLINE