MANILA – Majalah Vogue di Filipina menyiarkan gambar seorang wanita berusia 106 tahun, Apo Whang-Od sebagai penghias muka depan edisi Aprilnya sekali gus orang tertua pernah menghiasi kulit majalah berkenaan, lapor portal berita CNN semalam.
Whang-Od juga dikenali sebagai Maria Oggay, menyempurnakan seni tatu pada tubuhnya sejak dia masih remaja.
Menetap di sebuah kampung di pergunungan Buscalan, Whang-Od dianggap sebagai ahli tatu tradisional Kalinga paling tua di Filipina.
Suatu ketika dahulu, tatu yang diketuk dengan tangan pada tubuh wanita itu hanya menggunakan batang buluh, duri pokok limau, air dan arang batu.
“Digembar-gemborkan sebagai mambabatok (pelukis tatu tradisional) terakhir dalam generasinya, Whang-Od telah mencetak simbol suku Kalinga yang mewakili kekuatan, keberanian dan kecantikan pada kulit beribu-ribu orang yang melawat Buscalan,” kata Vogue Filipina.
Sebelum kemunculan Whang-Od di Vogue Filipina, rekod model tertua muka depan majalah itu dipegang oleh pelakon Judi Dench pada 2020 pada usia 85 tahun. – Agensi