LANGKAWI – Pelancong digalakkan menempah tiket feri secara online lebih awal bagi membolehkan pengendali feri menambah perjalanan keluar masuk.
Jurucakap Pemain Industri 13, Datuk Noorazly Rosly berkata, kedatangan pelancong ketika ini berkurangan kerana mereka terbaca mengenai masalah kekurangan perjalanan feri.
“Perjalanan kurang kerana permintaan kurang. Kita boleh saja menambah perjalanan feri sekiranya ada banyak penumpang yang membeli tiket secara online,” katanya.
Menurut Noorazly, pelancong juga tidak perlu bimbang dengan perkhidmatan tersebut sekiranya telah membeli tiket lebih awal.
Tambahnya, dia pada masa sama meminta usaha mempromosikan pelancongan ke Langkawi terus dipertingkatkan bagi menarik lebih ramai pelancong ke sini.
“Lebih ramai pelancong yang berminat untuk bercuti ke Langkawi, pastinya lebih ramai yang akan membuat tempahan tiket feri lebih awal, sekali gus dapat mengembalikan jadual perjalanan feri seperti biasa,” ujarnya.