PUTRAJAYA- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakar sejarah apabila dapat bertemu Presiden China, Xi Jinping di Dewan Besar Rakyat, di ibu kota Beijing semalam.
Kali terakhir pemimpin Malaysia berpeluang berjumpa tokoh tertinggi China tersebut ialah pada 25 April 2019 melibatkan Perdana Menteri ketika itu Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Menurut kenyataan Wisma Putra, pertemuan itu seumpama mengimbau balik sejarah dua negara pada kurun ke-15 ketika Malaysia dirujuk sebagai empayar Kesultanan Melaka.
“Mereka berdua mengulangi komitmen padu mengukuhkan persahabatan dan kebetulan genap sedekad Kerjasama Strategik Komprehensif Malaysia-China tahun ini.
“Jinping menyambut baik kedatangan Anwar selepas empat bulan menyandang jawatan ketua kerajaan dan dilakukan pula ketika bulan suci Ramadan,” katanya tadi.
Anwar juga kata Wisma Putra berkata, kekukuhan kerjasama ekonomi berdasarkan angka terkini dagangan serta pelbagai projek khas di bawah inisiatif jalan dan jalur China.
“Beliau turut menyambut baik pelaburan baharu dalam pelbagai sektor oleh negara itu termasuk bidang ekonomi digital, pertanian moden dan tenaga boleh diperbaharui,” katanya. – KOSMO! ONLINE