PETALING JAYA – Seorang lelaki diserang serta disamun sekumpulan lelaki bertopeng bersenjatakan parang dalam kejadian di Taman Bukit Kinrara, Puchong dekat sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalagan berkata, kejadian kira-kira pukul 4.10 pagi itu dikatakan berlaku ketika mangsa berumur 24 tahun berada di rumah didatangi lapan lelaki.
Katanya, salah seorang daripada suspek bertindak menumbuk beberapa kali bahagian muka mangsa dan meminta mangsa memberitahu tempat penyimpanan duit.
“Mangsa di bawa masuk ke dalam rumah oleh suspek dan ketika masuk dalam rumah, ibu mangsa berada di dalam dan suspek telah memaksa ibu mangsa untuk membuka barang kemas yang sedang dipakai.
“Kemudian suspek menyelongkar setiap bilik dalam rumah mangsa sebelum kesemua suspek beredar dari lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Anbalagan berkata, dalam kejadian itu juga kesemua suspek berjaya melarikan dua beg berisi emas dengan berat dianggarkan empat kilogram serta wang tunai berjumlah kira-kira RM5,000.
Menurut Anbalagan, kes disiasat akan di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.
“Kepada mana-mana pihak mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian tersebut boleh menghubungi pihak polis bagi membantu dalam menjalankan siasatan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE