PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil semula saksi berhubung kes kematian Teoh Beng Hock bagi melengkapkan kertas siasatan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pihak PDRM membuka semula kertas siasatan kes kematian Beng Hock mengikut seksyen 342 Kanun Keseksaan (Kurungan Salah) selepas keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 2018 lalu.
“Kertas siasatan itu sudah dikembalikan oleh pihak Jabatan Peguam Negara kepada pegawai penyiasat kes pada 6 Januari lalu.
“Dalam hal ini, pihak PDRM diminta untuk membuat rakaman percakapan lanjut saksi-saksi penting sebelum mengemukakan semula kertas siasatan itu kepada Jabatan Peguam Negara bagi arahan selanjutnya,” katanya dalam jawapan bertulis yang dikongsikan di laman sesawang Parlimen.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan status terkini berhubung siasatan semula kes kematian Beng Hock dan Muhammad Adib Mohd. Kassim serta tindakan susulan pihak kerajaan dalam kedua-dua kes berkenaan.
Mengulas lanjut, Azalina memaklumkan, kerajaan akan meneliti terlebih dulu laporan Jawatankuasa Khas Siasatan Kes Kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang ditubuhkan pada Disember 2021 selaras dengan ketetapan Jemaah Menteri.
“Jawatankuasa Khas itu sudah menjalankan tugas mereka selama sembilan bulan sebelum laporan diserahkan kepada pihak kerajaan pada 30 Ogos 2022.
“Apa-apa tindakan susulan berhubung perkara ini akan dibuat selepas kerajaan meneliti laporan itu,” jelasnya.
Terdahulu, mendiang Beng Hock ditemui meningal dunia pada 16 Julai 2009 di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tingkat 14 bangunan sama. – KOSMO! ONLINE