fbpx

Liga Super: Selangor FC ‘baham’ KL City 3-1

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemain Selangor FC, Faisal Halim (dua kiri) meraikan gol jaringannya bersama rakan sepasukan pada perlawanan menentang KL City sebentar tadi. - Foto KOSMO!/FARIZ RUSADIO

KUALA LUMPUR – Pasukan Selangor FC kembali berada di landasan kemenangan selepas menewaskan Kuala Lumpur City (KL City) 3-1 pada aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Kuala Lumpur, Cheras sebentar tadi.

Pada aksi derbi Lembah Klang itu, skuad Gergasi Merah kendalian Tan Cheng Hoe membariskan kesebelasan terbaik dengan menyenaraikan Faisal Halim, Ayron Del Valle dan Yohandry Orozco untuk mengemudi jentera serangan.

Sementara itu, skuad tuan rumah bimbingan Bojan Hodak turut mempamerkan penyerang berbisa terdiri daripada gandingan Romel Morales, Tchetche Kipre dan Herlison Caion.

Pasukan pelawat terlebih dahulu dikejutkan hasil jaringan yang dilakukan oleh Kipre pada minit ke-23 selepas bijak melakukan rembatan jarak jauh untuk menewaskan penjaga gol, Khairulazhan Khalid.

Tersentak dengan itu, Selangor memperkemaskan jentera serangan dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti yang telah disempurnakan oleh Ayron pada minit ke-32.

Tuah terus memihak kepada skuad Merah Kuning apabila sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti yang berjaya disudahkan oleh Faisal Halim berselang sembilan minit kemudian untuk meletakkan kedudukan 2-1 sebelum tamat babak pertama.

Bersambung pada separuh masa kedua, pasukan tuan rumah semakin tertekan apabila Ayron berjaya melebarkan kelebihan hasil penyudah bijak yang dilakukan pada minit ke-54.

KL City hampir menyamakan kedudukan apabila Morales memiliki dua peluang keemasan tetapi gagal menerjah jaring selepas percubaannya mudah diselamatkan oleh Azhan.

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan tetapi keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Selangor kini meraih 13 mata selepas mengharungi enam aksi Liga Super manakala KL City kekal dengan tiga mata. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI