DUNGUN – Penduduk di sekitar Felda Kerteh 1 di sini lega kerana boleh menjalani ibadat puasa dan menyambut hari raya dalam keadaan tenang selepas seekor harimau yang berkeliaran di kawasan mereka sejak beberapa bulan lalu akhirnya ditangkap kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Felda Kerteh 1, Wan Zukri Wan Yusuf berkata, harimau betina itu ditangkap pada pukul 4 petang selepas memasuki perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Katanya, berdasarkan pada keterangan penduduk yang pernah terserempak dengan pak belang itu, dia yakin ia merupakan harimau yang berkeliaran sebelum ini.
“Sebelum ini penduduk ada ternampak kelibat pak belang itu di sekitar kawasan ladang kelapa sawit yang diusahakan kami.
“Kami bersyukur kerana perangkap dipasang Perhilitan akhirnya membuahkan hasil pada bulan Ramadan yang mulia ini,” katanya kepada Kosmo!.
Menurut Wan Zukri, harimau itu dipercayai telah membaham beberapa haiwan ternakan penduduk di sekitar Rasau, Ketengah Jaya, Hulu Paka dan Durian Mentangau sejak beberapa bulan lalu.
Haiwan liar itu kemudian dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar dan Taman Negara Kebangsaan, Sungkai, Perak untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong memberitahu, satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan ibu pejabat Perhilitan di Kuala Lumpur dalam tempoh terdekat.
Difahamkan seramai 20 anggota Perhilitan terlibat dalam operasi memindahkan harimau belang terbabit pada pukul 4 petang kelmarin.
Sebelum ini, Kosmo! telah menyiarkan ancaman harimau belang di kawasan gugusan Felda Kerteh dan sekitarnya.
Setakat ini, tiga ekor pak belang telah berjaya ditangkap Perhilitan di kawasan sama dalam tempoh dua tahun.
Seekor harimau belang jantan digelar ‘Awang Rasau’ yang cedera dipercayai ditembak pemburu haram berjaya diselamatkan di Felda Kerteh 3 di sini pada Februari 2021.
Bagaimanapun, harimau dianggarkan berusia lingkungan 14 hingga 15 tahun tersebut mati selepas sebulan diselamatkan ekoran mengalami komplikasi saraf, kegagalan sistem perkumuhan dan jangkitan kuman pada luka di kaki belakangnya.