fbpx

LBS, SANY Group meterai kerjasama projek hartanah dan pelabuhan RM11 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San (empat dari kiri) bersama barisan ahli perniagaan di Majlis Menandatangani MoU antara LBS dan Sany Group yang berlangsung di Forum Perniagaan Malaysia-China serta turut disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri-Menteri Kabinet Malaysia.

PETALING JAYA – Pemaju hartanah terkemuka, LBS Bina Group Berhad (LBS) hari ini menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan SANY Group Co., Ltd. (SANY Group), peneraju global dalam bidang kejuruteraan mesin dan pengeluaran perkilangan.

Berpengkalan di China, SANY Group, yang disenaraikan oleh Forbes sebagai syarikat yang ke-468 terbesar di dunia merupakan syarikat pengeluar peralatan berat kedua terbesar di dunia dan terkenal dengan produk inovatif serta berkualiti tinggi.

Ia juga merupakan pengeluar utama peralatan berteknologi tinggi dan terlibat dalam aktiviti pembinaan am dengan 20 buah pusat penyelidikan serta pembangunan (R&D), pembuatan kereta, peralatan mesin pelabuhan, industri tenaga baharu, reka bentuk seni bina, internet industri dan pengeluar produk konkrit pra-tuang dengan jalinan kerjasama di 150 buah negara.

Menerusi MoU tersebut, LBS dan SANY Group akan bekerjasama untuk meneroka sistem struktur terkini SANY Group bagi membangunkan 10,000 unit hartanah di seluruh Asia, dengan jumlah nilai projek kira-kira RM3 bilion.

Kedua-dua pihak juga akan bersama-sama meneroka, menyelidik dan merancang pelabuhan pintar laut dalam di Melaka dan membina pusat setempat Hab Pelabuhan Industri 4.0 di Zon Ekonomi Persisiran Pantai Melaka (M-WEZ), yang terdiri daripada zon perdagangan bebas, minyak dan taman perindustrian cecair gas asli serta perniagaan berkaitan pelabuhan yang menggunakan kepakaran, dengan jumlah pelaburan kira-kira RM8 bilion.

Hock San (dua dari kanan) dan Presiden Sany Group, Tang Xiu Guo, bertukar dokumen MoU sambil disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MGB Berhad, Datuk Richard Lim dan Pengarah Urusan Leaptec Engineering Sdn Bhd., Datuk Mohd Anis Hisham Abd Aziz.

Majlis menandatangani MoU tersebut diadakan di China World Hotel Beijing, China, yang mana Pengerusi Eksekutif, Tan Sri Lim Hock San telah menandatangani bagi pihak LBS manakala SANY Group diwakili oleh Presiden, Tang Xiu Guo.

Majlis bersejarah tersebut turut disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan jemaah menteri termasuk Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Menteri Pelancongan, Seni & Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Perjanjian tersebut berkuatkuasa selama satu tahun bermula hari ini dengan lanjutan secara automatik untuk tempoh satu tahun lagi, melainkan perjanjian tersebut diperbaharui dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Hock San berkata, pihaknya telah lama bekerjasama dengan SANY Group sejak 2017, yang mana kedua-dua syarikat menjalin usahasama untuk memulakan kilang konkrit pra-tuang IBS (sistem binaan industri).

“Kami berbesar hati untuk terus bekerjasama dengan SANY Group bagi meneroka sinergi bagi kedua-dua pembangunan hartanah dan pembangunan industri di seluruh Asia serta pembangunan pelabuhan di Melaka.

“LBS turut berhasrat untuk menjadi pemaju terkemuka di peringkat serantau dan berharap ianya tercapai melalui penggunaan produk konkrit pra-tuang IBS.

“Di samping itu, terdapat pelbagai potensi di negeri Melaka dan kami optimis untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dalam negeri menerusi pembangunan pelabuhan perindustrian,” katanya dalam satu kenyataan. – KOSMO! ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI